Saturday, March 20, 2010

Program PERMATApintar untuk golongan elitis?

Pencarian bakat pelajar pintar cerdas untuk program PERMATApintar buat masa ini adalah pelajar pintar cerdas akademik. Pelajar pintar cerdas dalam aspek lain seperti sukan, mereka telah ditempatkan di sekolah-sekolah sukan. Pelajar pintar cerdas dalam kesenian juga ada di sekolah seni dan juga menyertai satu lagi program PERMATA Seni.

Pada tahun 2009, program Pencarian Bakat pelajar pintar cerdas melalui ujian saringan UKM1 dan UKM2 dengan kerjasama Kementerian Pelajaran Malaysia, Jabatan-jabatan Pelajaran Negeri, Pejabat-Pejabat Pelajaran Daerah dan sekolah-sekolah, telah berjaya mendapatkan 405 pelajar yang melepasi skor kelayakan mengikut umur (jumlah pelajar 9-15 tahun yang sepatutnya mengambil ujian UKM1 ialah 3,414,241 pelajar). Jika mengikut nisbah 1:10,000; sepatutnya kita dapat memperoleh 341,424 pelajar pintar cerdas seluruh negara. Namun nisbah tersebut merupakan satu angka yang konservatif. Kebanyakan negara lain menganggarkan bilangan pelajar pintar cerdas yang ada di negara mereka dalam jumlah antara 2 hingga 5 peratus.

Pelajar yang menamatkan ujian saringan pertama UKM1 yang dijalankan secara dalam talian dan terbuka ialah 212,486 orang. Pelajar yang terpilih melepasi skor kelayakan mengikut umur ialah 4,682 pelajar dan hanya 4,188 menduduki ujian saringan UKM2 yang dilakukan secara pengawasan di pusat-pusat ujian. 405 pelajar pintar cerdas yang layak untuk mengikuti program perkhemahan PERMATApintar 2009 selama 3 minggu adalah berselerak dari seluruh negara, kecuali WP Labuan (ada pelajar yang mengambil ujian UKM2). Pelajar yang datang dari sekolah luar bandar dan bandar adalah seimbang. Pelajar di bandar juga ada yang tidak berkemampuan. Semasa pencarian ini kami bergantung kepada merit ujian itu sendiri mengikut umur, bukan latar belakang SES, jantina, kaum dan lokasi pelajar.

Program ini bukan untuk golongan elit. Ujian saringan pertama dalam talian, kami telah membuka ruang yang seluas-luasnya kepada masyarakat Malaysia untuk membawa pelajar-pelajar ini ke pusat-pusat yang ada capaian Internet. Kerajaan Malaysia membiayai projek ini. Selain Pusat PERMATApintar Negara, di UKM dan Kementerian Pelajaran Malaysia untuk semua rakyat Malaysia, maka tugas rakyat Malaysia lain juga yang untuk membawa pelajar-pelajar ini ke pusat-pusat yang ada kemudahan Internet. Dalam Rancangan Malaysia ke 8 dan 9, kerajaan telah membelanjakan sejumlah yang tinggi untuk menyediakan kemudahan ICT termasuk Internet di luar bandar. KPM juga ada program PPSMI yang menyediakan kemudahan komputer di sekolah. Sewajarnya kemudahan ICT ini dimanfaatkan bukan hanya untuk Ujian UKM1 dan UKM2 tetapi pengintegrasian ICT di sekolah agar murid-murid tidak ketinggalan dalam arus digital. Memang diakui wujudnya masalah dalam capaian Internet di sekolah, namun jika semua pihak prihatin, boleh membawa pelajar-pelajar ke pusat-pusat komuniti, pusat-pusat latihan komputer dan kafe siber untuk mengambil ujian ini. Pihak-pihak yang membekalkan kemudahan Internet di sekolah juga perlu bertanggungjawab bukan sekadar mencari keuntungan.

Cadangkan kepada kami bagaimana cara yang boleh kami lakukan untuk mencari pelajar pintar cerdas di seluruh Malaysia dalam tempoh Mac - Ogos setiap tahun? Sekarang ini banyak kritikan, tetapi tiada satupun cadangan yang kami terima, termasuk bagaimana untuk melakukan penambahbaikan. Kami amat mengalu-alukan kritikan yang konstruktif dan kami hargai dengan ucapan terima kasih.


Walaupun ada suara-suara yang menyatakan bahawa kerajaan sepatutnya tidak perlu menyediakan pendidikan yang komprehensif dengan perbelanjaan yang banyak kepada hanya segelintir pelajar-pelajar pintar cerdas, dan mereka sepatutnya dibiarkan di kelas-kelas biasa agar kepintaran mereka dapat dikongsi bersama dengan pelajar-pelajar lain. Namun, hakikatnya pelajar-pelajar pintar cerdas ini mempunyai keperluan yang berbeza dari pelajar biasa. Pandangan sedemikian walaupun ada benarnya, dan memandangkan pelajar-pelajar ini memerlukan pembelajaran yang mencabar yang tidak dapat dijangkau oleh pelajar-pelajar biasa, satu pendekatan perlu difikirkan agar semua potensi mereka dapat diserlahkan. Tanpa sebarang bantuan dan bimbingan yang sesuai, mereka akan hilang dari sistem pendidikan kita dan tidak akan dapat menyumbang kepada perkembangan pembangunan di Malaysia. Jika kita boleh membenarkan satu pendidikan khusus untuk pelajar-pelajar cacat pendengaran dan cacat penglihatan, kenapa kita tidak boleh menyediakan satu bentuk pendidikan khusus untuk pelajar-pelajar pintar cerdas yang sebenarnya adalah aset negara yang sangat berharga?

No comments:

Post a Comment