Thursday, March 25, 2010

Nilai JUJUR dan BERTANGGUNGJAWAB

  1. Pelajar perlu JUJUR dan BERTANGGUNGJAWAB untuk mengisi maklumat peribadi, keluarga dan sekolah serta menjawab soalan ujian UKM1 dan UKM2. Oleh sebab itu, tempoh masa ujian UKM1 tidak terhad dan pelajar boleh menyambung semula ujian jika sekiranya berhenti dan tergendala. Pihak kami menyedari masalah infrastruktur ICT di sekolah. Ujian UKM1 ini juga menguji kejujuran diri sendiri.
  2. Ujian UKM1 juga untuk membiasakan pelajar dengan bentuk-bentuk ujian kecerdasan yang memerlukan mereka berfikir secara penaakulan (reasoning).
  3. Pelajar yang tidak jujur akan TERPERANGKAP dalam ujian UKM2.
  4. Ujian UKM2 mempunyai tempoh masa menjawab soalan dan ia dilakukan di pusat-pusat ujian secara pengawasan dari pihak UKM sendiri.
  5. Pelajar tidak dibenarkan mendapatkan bantuan dari orang lain atau membuat rujukan semasa mengambil kedua-dua ujian saringan ini. Ibu bapa atau orang dewasa perlu menanamkan nilai murni KEJUJURAN dan TANGGUNGJAWAB dalam diri pelajar-pelajar ini. Apalah gunanya ada KEPINTARAN tetapi hidup dalam ketidakjujuran dan tidak bertanggungjawab.
  6. Kedua-dua ujian sepatutnya diambil oleh pelajar tanpa persediaan dari segi latihan tentang ujian tersebut sebagaimana dengan peperiksaan di sekolah. Namun jika pelajar telah dididik dengan kemahiran berfikir ia merupa satu kelebihan untuk menjawab kedua-kedua ujian ini.
  7. Pihak PERMATApintar dan PERMATA Insan ingin mengenal pasti pelajar pintar cerdas semula jadi dan dikembangkan bakat mereka melalui program yang disediakan.
  8. Dengan itu, ibu bapa, guru dan ahli keluarga yang lain tidak perlu membantu pelajar untuk menjawab soalan dalam ujian ini semata-mata untuk terpilih dalam program-program yang disediakan.
  9. Kursus-kursus dalam program perkhemahan adalah kursus-kursus peringkat tinggi yang mencabar keupayaan kognitif.
  10. Pelajar akan mengalami tekanan emosi dan mental semasa mengikut program kerana tahap kemampuan mereka bukan yang sebenar tetapi dilakukan dengan bantuan orang dewasa.
  11. Ia bukan sahaja menyulitkan pelajar, malah pihak pengurusan dan tenaga pengajar kerana terpaksa berhadapan dengan pelajar yang tidak berkemampuan untuk mengikuti modul-modul yang mencabar minda mereka.
  12. Selain itu, ada pelajar-pelajar yang berbincang sesama sendiri secara dalam talian menggunakan instant messaging semasa menjawab soalan ujian UKM1. Untuk pelajar-pelajar ini, INSAFlah, jika masih muda lagi sudah tidak mengikut arahan pihak PERMATApintar, bagaimana dengan aspek kehidupan yang lain. Tidak guna menjadi pelajar yang PINTAR, tetapi rendah nilai moral dan akhlak.
Dengan itu, orang DEWASA perlulah memberi contoh tauladan dan mendidik pelajar-pelajar ini dengan nilai-nilai murni JUJUR dan BERTANGGUNGJAWAB semasa mengambil kedua-dua ujian ini.

Ujian UKM1 dilakukan secara terbuka. Pihak kami mendapati pelbagai tipu muslihat dilakukan oleh pengguna. Ada juga yang cuba menggodam (server) menyebabkan ada masanya ujian dalam talian ini mengalami gangguan. Pihak kami sentiasa berwaspada dengan penggodam.

Untuk PENGGODAM, gunakan kepakaran anda ke arah jalan yang baik bukannya memberi kesulitan kepada orang ramai.


No comments:

Post a Comment