Wednesday, March 31, 2010

Tiada kemudahan Internet / Gangguan capaian Internet

Pihak PERMATApintar menyedari masalah kemudahan infrastruktur ICT di sekolah. Ada makmal komputer tapi tidak semua komputer boleh mencapai Internet.

Internet di sekolah, bukan hanya untuk ujian UKM1 dan UKM2 semata-mata. Pengintegrasian Internet dalam Pendidikan akan menjadi retorik, jika sekiranya masalah ini tidak diatasi.

Apakah pentadbir sekolah dan guru tidak menggunakan Internet?

Sekurang-kurangnya sebuah komputer yang ada Internet di setiap sekolah.

Jika ada 10,000 sekolah, seorang pelajar sahajalah yang buat ujian UKM1 sehari untuk tempoh 3 jam, maka sehari Ujian ini boleh diambil oleh 10,000 pelajar.


Program PERMATApintar Negara adalah program untuk RAKYAT MALAYSIA. Dengan itu, masyarakat dan NGO yang prihatin boleh membantu membawa pelajar sekolah ke pusat-pusat yang ada capaian Internet.

Pihak PERMATApintar ingin memberi peluang kepada semua pelajar 8-15 tahun mengambil ujian ini. Namun, kerana kekangan infrastruktur ICT, maka ibu bapa, guru dan anggota masyarakat, boleh membuat pemerhatian tentang ciri-ciri pelajar pintar cerdas ini melalui panduan berikut:


Ciri ini dibahagikan kepada domain-domain:
A. kebolehan intelek yang umum
B. kebolehan intelek yang khusus
C. pemikiran kreatif
D. kepimpinan
E. kebolehan psikomotor
F. kesenian visual/persembahan
G. sosial emosi.


Thursday, March 25, 2010

Nilai JUJUR dan BERTANGGUNGJAWAB

  1. Pelajar perlu JUJUR dan BERTANGGUNGJAWAB untuk mengisi maklumat peribadi, keluarga dan sekolah serta menjawab soalan ujian UKM1 dan UKM2. Oleh sebab itu, tempoh masa ujian UKM1 tidak terhad dan pelajar boleh menyambung semula ujian jika sekiranya berhenti dan tergendala. Pihak kami menyedari masalah infrastruktur ICT di sekolah. Ujian UKM1 ini juga menguji kejujuran diri sendiri.
  2. Ujian UKM1 juga untuk membiasakan pelajar dengan bentuk-bentuk ujian kecerdasan yang memerlukan mereka berfikir secara penaakulan (reasoning).
  3. Pelajar yang tidak jujur akan TERPERANGKAP dalam ujian UKM2.
  4. Ujian UKM2 mempunyai tempoh masa menjawab soalan dan ia dilakukan di pusat-pusat ujian secara pengawasan dari pihak UKM sendiri.
  5. Pelajar tidak dibenarkan mendapatkan bantuan dari orang lain atau membuat rujukan semasa mengambil kedua-dua ujian saringan ini. Ibu bapa atau orang dewasa perlu menanamkan nilai murni KEJUJURAN dan TANGGUNGJAWAB dalam diri pelajar-pelajar ini. Apalah gunanya ada KEPINTARAN tetapi hidup dalam ketidakjujuran dan tidak bertanggungjawab.
  6. Kedua-dua ujian sepatutnya diambil oleh pelajar tanpa persediaan dari segi latihan tentang ujian tersebut sebagaimana dengan peperiksaan di sekolah. Namun jika pelajar telah dididik dengan kemahiran berfikir ia merupa satu kelebihan untuk menjawab kedua-kedua ujian ini.
  7. Pihak PERMATApintar dan PERMATA Insan ingin mengenal pasti pelajar pintar cerdas semula jadi dan dikembangkan bakat mereka melalui program yang disediakan.
  8. Dengan itu, ibu bapa, guru dan ahli keluarga yang lain tidak perlu membantu pelajar untuk menjawab soalan dalam ujian ini semata-mata untuk terpilih dalam program-program yang disediakan.
  9. Kursus-kursus dalam program perkhemahan adalah kursus-kursus peringkat tinggi yang mencabar keupayaan kognitif.
  10. Pelajar akan mengalami tekanan emosi dan mental semasa mengikut program kerana tahap kemampuan mereka bukan yang sebenar tetapi dilakukan dengan bantuan orang dewasa.
  11. Ia bukan sahaja menyulitkan pelajar, malah pihak pengurusan dan tenaga pengajar kerana terpaksa berhadapan dengan pelajar yang tidak berkemampuan untuk mengikuti modul-modul yang mencabar minda mereka.
  12. Selain itu, ada pelajar-pelajar yang berbincang sesama sendiri secara dalam talian menggunakan instant messaging semasa menjawab soalan ujian UKM1. Untuk pelajar-pelajar ini, INSAFlah, jika masih muda lagi sudah tidak mengikut arahan pihak PERMATApintar, bagaimana dengan aspek kehidupan yang lain. Tidak guna menjadi pelajar yang PINTAR, tetapi rendah nilai moral dan akhlak.
Dengan itu, orang DEWASA perlulah memberi contoh tauladan dan mendidik pelajar-pelajar ini dengan nilai-nilai murni JUJUR dan BERTANGGUNGJAWAB semasa mengambil kedua-dua ujian ini.

Ujian UKM1 dilakukan secara terbuka. Pihak kami mendapati pelbagai tipu muslihat dilakukan oleh pengguna. Ada juga yang cuba menggodam (server) menyebabkan ada masanya ujian dalam talian ini mengalami gangguan. Pihak kami sentiasa berwaspada dengan penggodam.

Untuk PENGGODAM, gunakan kepakaran anda ke arah jalan yang baik bukannya memberi kesulitan kepada orang ramai.


Saturday, March 20, 2010

Program PERMATApintar untuk golongan elitis?

Pencarian bakat pelajar pintar cerdas untuk program PERMATApintar buat masa ini adalah pelajar pintar cerdas akademik. Pelajar pintar cerdas dalam aspek lain seperti sukan, mereka telah ditempatkan di sekolah-sekolah sukan. Pelajar pintar cerdas dalam kesenian juga ada di sekolah seni dan juga menyertai satu lagi program PERMATA Seni.

Pada tahun 2009, program Pencarian Bakat pelajar pintar cerdas melalui ujian saringan UKM1 dan UKM2 dengan kerjasama Kementerian Pelajaran Malaysia, Jabatan-jabatan Pelajaran Negeri, Pejabat-Pejabat Pelajaran Daerah dan sekolah-sekolah, telah berjaya mendapatkan 405 pelajar yang melepasi skor kelayakan mengikut umur (jumlah pelajar 9-15 tahun yang sepatutnya mengambil ujian UKM1 ialah 3,414,241 pelajar). Jika mengikut nisbah 1:10,000; sepatutnya kita dapat memperoleh 341,424 pelajar pintar cerdas seluruh negara. Namun nisbah tersebut merupakan satu angka yang konservatif. Kebanyakan negara lain menganggarkan bilangan pelajar pintar cerdas yang ada di negara mereka dalam jumlah antara 2 hingga 5 peratus.

Pelajar yang menamatkan ujian saringan pertama UKM1 yang dijalankan secara dalam talian dan terbuka ialah 212,486 orang. Pelajar yang terpilih melepasi skor kelayakan mengikut umur ialah 4,682 pelajar dan hanya 4,188 menduduki ujian saringan UKM2 yang dilakukan secara pengawasan di pusat-pusat ujian. 405 pelajar pintar cerdas yang layak untuk mengikuti program perkhemahan PERMATApintar 2009 selama 3 minggu adalah berselerak dari seluruh negara, kecuali WP Labuan (ada pelajar yang mengambil ujian UKM2). Pelajar yang datang dari sekolah luar bandar dan bandar adalah seimbang. Pelajar di bandar juga ada yang tidak berkemampuan. Semasa pencarian ini kami bergantung kepada merit ujian itu sendiri mengikut umur, bukan latar belakang SES, jantina, kaum dan lokasi pelajar.

Program ini bukan untuk golongan elit. Ujian saringan pertama dalam talian, kami telah membuka ruang yang seluas-luasnya kepada masyarakat Malaysia untuk membawa pelajar-pelajar ini ke pusat-pusat yang ada capaian Internet. Kerajaan Malaysia membiayai projek ini. Selain Pusat PERMATApintar Negara, di UKM dan Kementerian Pelajaran Malaysia untuk semua rakyat Malaysia, maka tugas rakyat Malaysia lain juga yang untuk membawa pelajar-pelajar ini ke pusat-pusat yang ada kemudahan Internet. Dalam Rancangan Malaysia ke 8 dan 9, kerajaan telah membelanjakan sejumlah yang tinggi untuk menyediakan kemudahan ICT termasuk Internet di luar bandar. KPM juga ada program PPSMI yang menyediakan kemudahan komputer di sekolah. Sewajarnya kemudahan ICT ini dimanfaatkan bukan hanya untuk Ujian UKM1 dan UKM2 tetapi pengintegrasian ICT di sekolah agar murid-murid tidak ketinggalan dalam arus digital. Memang diakui wujudnya masalah dalam capaian Internet di sekolah, namun jika semua pihak prihatin, boleh membawa pelajar-pelajar ke pusat-pusat komuniti, pusat-pusat latihan komputer dan kafe siber untuk mengambil ujian ini. Pihak-pihak yang membekalkan kemudahan Internet di sekolah juga perlu bertanggungjawab bukan sekadar mencari keuntungan.

Cadangkan kepada kami bagaimana cara yang boleh kami lakukan untuk mencari pelajar pintar cerdas di seluruh Malaysia dalam tempoh Mac - Ogos setiap tahun? Sekarang ini banyak kritikan, tetapi tiada satupun cadangan yang kami terima, termasuk bagaimana untuk melakukan penambahbaikan. Kami amat mengalu-alukan kritikan yang konstruktif dan kami hargai dengan ucapan terima kasih.


Walaupun ada suara-suara yang menyatakan bahawa kerajaan sepatutnya tidak perlu menyediakan pendidikan yang komprehensif dengan perbelanjaan yang banyak kepada hanya segelintir pelajar-pelajar pintar cerdas, dan mereka sepatutnya dibiarkan di kelas-kelas biasa agar kepintaran mereka dapat dikongsi bersama dengan pelajar-pelajar lain. Namun, hakikatnya pelajar-pelajar pintar cerdas ini mempunyai keperluan yang berbeza dari pelajar biasa. Pandangan sedemikian walaupun ada benarnya, dan memandangkan pelajar-pelajar ini memerlukan pembelajaran yang mencabar yang tidak dapat dijangkau oleh pelajar-pelajar biasa, satu pendekatan perlu difikirkan agar semua potensi mereka dapat diserlahkan. Tanpa sebarang bantuan dan bimbingan yang sesuai, mereka akan hilang dari sistem pendidikan kita dan tidak akan dapat menyumbang kepada perkembangan pembangunan di Malaysia. Jika kita boleh membenarkan satu pendidikan khusus untuk pelajar-pelajar cacat pendengaran dan cacat penglihatan, kenapa kita tidak boleh menyediakan satu bentuk pendidikan khusus untuk pelajar-pelajar pintar cerdas yang sebenarnya adalah aset negara yang sangat berharga?

Nisbah pelajar pintar cerdas - 1:10,000

Kajian ke atas profil pelajar-pelajar pintar cerdas menunjukkan bahawa terdapat seorang pelajar pintar cerdas bagi setiap 10,000 orang kanak-kanak (Tidwell, 1980). Jika Malaysia mempunyai seramai 4.5 juta pelajar-pelajar dari umur sembilan hingga 15 tahun, maka bilangan pelajar pintar cerdas di Malaysia seramai 450,000 orang. Mereka adalah aset negara yang perlu dicari, digilap dan ditonjolkan demi mencapai cita-cita negara untuk menjana modal insan yang berbakti kepada negara dan dunia. Walau pun nilai 450,000 itu merupakan satu jumlah yang besar, namun nisbah tersebut merupakan satu angka yang konservatif. Kebanyakan negara lain menganggarkan bilangan pelajar pintar cerdas yang ada di negara mereka dalam jumlah antara 2 hingga 5 peratus.

Tidwell, R. 1980. A psycho-educational profile of 1,593: Gifted High School Students. Gifted Child Quarterly, 24, 2, 63-68

Ujian Saringan Pertama PERMATApintar UKM1

Ujian PERMATApintar UKM1 bermula dari 1 Mac 2010 hingga 31 Mei 2010. Ujian ini adalah untuk pelajar-pelajar Malaysia yang berumur 8 hingga 15 tahun sahaja.

Tiada syarat atau birokrasi untuk ambil ujian ini. Yang penting semua pelajar jujur dan bertanggungjawab. Terima kasih daripada Pusat PERMATApintar Negara, UKM.



Ujian ini boleh dilakukan sama ada di sekolah, rumah, cybercafé atau dimana sahaja terdapat capaian internet.

Ujian UKM1 merupakan saringan pertama untuk pelajar menyertai program-program.
  1. Perkhemahan PERMATApintar Negara di UKM (untuk pelajar berusia 9-15 tahun)
  2. Perkhemahan PERMATA Insan yang dikendalikan oleh Universiti Sains Islam Malaysia (untuk pelajar berusia 8-12 tahun)
  3. Akademi PERMATApintar UKM iaitu sekolah khas pintar cerdas (untuk pelajar tingkatan 3 pada tahun 2010 yang akan memasuki tingkatan 4 Akademi pada tahun 2011).

Keperluan system:
1. Komputer dan tetikus
2. Capaian internet yang stabil
3. Pelayan Internet (Internet Explorer, Mozilla Firefox, Safari dan Google Chrome)

Kemahiran asas komputer: boleh mengendalikan papan kekunci dan tetikus


Perlu diingatkan bahawa pelajar tidak dibenarkan mendapatkan bantuan dari orang lain, kamus, media elektronik dan sebagainya semasa mengambil ujian saringan ini. Setiap pelajar hanya dibenarkan mengambil ujian saringan ini sekali sahaja. Pelajar akan diminta memasukkan maklumat peribadi, sekolah dan ibu bapa / penjaga sebelum memulakan ujian saringan ini.

*Nota:
1. Ibubapa, penjaga atau guru dibenarkan membantu pelajar untuk memasukkan maklumat pelajar, sekolah dan ibubapa/penjaga sahaja.
2. Ujian ini boleh diberhentikan dan disambung semula ke halaman terakhir anda.
3. Jika talian internet anda terputus anda akan dibawa ke halaman permulaan dan anda perlu memasukkan MYKAD/MYKID/Surat Beranak# untuk ke halaman terakhir anda.

KLIK DI SINI UNTUK MEMULAKAN UJIAN ATAU MENYAMBUNG UJIAN SARINGAN PERTAMA UKM1